Wednesday 13 July 2011

SEJUMLAH 8,812 UNIT KUARTERS GURU MASIH KOSONG


KUALA LUMPUR, 4 Julai - Sejumlah 8,812 unit kuarters guru masih kosong dan tidak diduduki berikutan pelbagai faktor, termasuk kekangan peruntukan untuk menaik taraf kuarters berkenaan, persidangan Dewan Negara diberitahu Isnin.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata antara faktor lain ialah lokasi kurang sesuai, bayaran elaun Imbuhan Tetap Perumahan (IPT) serta elaun Sara Hidup (COLA), pemotongan keseluruhan ITP dan 50 peratus COLA bagi yang menduduki kuarters serta keadaan fizikal yang tidak diselenggara.


"Terdapat juga berlaku pengurangan pelajar di satu-satu sekolah, menyebabkan bilangan guru-guru di sekolah terbabit berkurangan, akibatnya berlaku kekosongan unit kuarters guru," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman.

"Setakat ini kekosongan kuarters guru berjumlah 8,812 bukan 3,000 seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan. Sekiranya peruntukan dapat diberikan oleh Kementerian Kewangan, sebahagian besar pusat latihan akan diubah suai untuk kegunaan pendidikan," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan Abdul Rahim mengenai rancangan kementerian terhadap kuarters yang terbiar dan digelar sebagai 'kuarters hantu' sepertimana yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.

Pada Mei lepas, akhbar itu melaporkan kira-kira 3,000 unit kuarters guru, khususnya di luar bandar di seluruh negara dikatakan terbiar begitu saja kerana tidak didiami oleh guru yang bertugas di kawasan berkenaan atas pelbagai faktor, termasuk lokasinya yang tidak sesuai dan tidak diselenggara dengan sempurna.

Wee berkata beberapa cadangan telah dikenal pasti bagi membantu mengatasi masalah pengisian kuarters untuk kakitangan mereka, seperti menawarkan kepada agensi dan kementerian lain yang memerlukan kuarters untuk kakitangan mereka dan semakan semula pemotongan IPT serta COLA.

- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sila Muat Turun Instrumen Pentaksiran KSSR TH 1

KEM MOTIVASI